Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menyediakan sarapan percuma pada setiap hari Jumaat.
Pengurusnya Tarmizi Kamaruddin, berkata inisiatif tersebut merupakan cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari, terbuka untuk penduduk sekitar.
“Tujuannya adalah untuk bersedekah di samping mewujudkan kemesraan antara masyarakat dengan kakitangan PKM.
“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat mengenai inisiatif Kerajaan Selangor serta program-program terkini,” katanya ketika ditemui pagi tadi.
Sementara itu seorang pengunjung yang ditemui, Peramela Ramasamy, 50, berkata beliau menyambut baik program tersebut yang dapat mengeratkan orang ramai dengan kakitangan PKM.
“Saya dah dua kali hadir bersarapan di sini, ramai kawan-kawan baharu ditemui.
“Selain itu saya dapat mengetahui bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan negeri,” katanya yang tinggal di Selayang Makmur.
-ZS-