Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Bangsa Johor Bangga Sultan Ibrahim Jadi Yang di-Pertuan Agong ke-17

By 31 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurulaini/Muhammad Azrul Mubarak

KULAI, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat meninggalkan Negeri Johor menuju ke ibu negara setelah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Sultan Ibrahim yang menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

Seluruh rakyat Negeri Johor merasa berbangga dan gembira dengan perlantikan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 ini.

Rakyat Johor ternyata tidak melepaskan peluang untuk menikmati momen bersejarah hari ini dengan berkumpul di laluan utama dari Johor Bahru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) bagi memberi penghormatan kepada Sultan Ibrahim yang sememangnya amat disayangi rakyat jelata.

Pengerusi Persatuan Bugis Negeri Johor Cawangan Simpang Renggam, Abdul Talib Haji Kundin, 54, yang ditemui berasa bangga di atas pemilihan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 kerana baginda sememangnya dikenali sebagai sultan yang dekat di hati rakyat.

“Baginda amat disayangi rakyat Negeri Johor. Oleh sebab itu saya tidak lepaskan peluang berada di sini untuk melambai kepada tuanku sebagai tanda sokongan.

“Diharapkan juga dengan kepimpinan yang bijaksana baginda tuanku, keharmonian dan kemakmuran negara akan terus kekal dan didoakan juga tuanku diberikan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan,” katanya.

Syarikat Restoran Halal Makanan Segera (QSR) jenama Malaysia, Marrybrown turut mengambil bahagian pada pagi ini dengan menyumbangkan kira-kira 500 set burger.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda