Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kursus Pemantapan Saudara Baru Medan Perkukuh Jati Diri

By 3 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)

TAWAU, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Kursus Pemantapan Saudara Baru mempunyai peranan penting sebagai nilai tambah kepada saudara baru untuk lebih kompeten dalam menimba ilmu pengetahuan terutama berhubung ajaran agama Islam.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kursus seumpamanya memberi pendedahan tentang cara hidup dan amalan setiap muslim bagi tujuan memantapkan akidah mereka.

Jelasnya, kursus tersebut sangat bermanfaat dengan memberi ruang dan peluang untuk peserta berinteraksi, berkongsi pengetahuan di samping memperolehi ilmu.

“Persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan yang penting dalam membantu kerajaan memastikan warga kita terus maju dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Ia juga merupakan entiti penting bagi mencapai hasrat kerajaan dalam memastikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan dengan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman makmur dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan kursus tersebut di sini pada Isnin.

Kursus inisiatif Persatuan Mualaf Tawau itu juga dianjurkan bagi memelihara pembangunan dari aspek akidah, ibadah, akhlak saudara baru selain menyeru komuniti tersebut komited serta istiqamah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Apas turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi kegunaan persatuan ini berkenaan melaksanakan kelas formal fardu ain.

Kursus Pemantapan Saudara Baru anjuran Persatuan Mualaf ini telah dihadiri seramai 150 orang peserta di sekitar Tawau.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda