Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Rakyat Pahang Disaran Daftar Segera PADU

By 5 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Azree Zaki/Syazwan Rosli

RAUB, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Rakyat di negeri disarankan untuk mendaftar segera Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu.

Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Dong Fadzli Mohamad Kamal, berkata pelaksanaan sistem PADU ini cukup penting dalam memastikan negara memiliki sistem data rakyat yang serba lengkap bagi memastikan bantuan-bantuan daripada pihak kerajaan dapat disalurkan secara tepat kepada golongan sasar.

“Saya menggesa rakyat di negeri Pahang agar segera mendaftar sistem PADU ini dan jangan terpengaruh dengan diskusi di media sosial yang menidakkan manfaat pelaksanaan sistem PADU ini,” katanya sewaktu berucap di Majlis Penerangan PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) FELDA Krau 1, di sini semalam.

Sesi penerangan sistem PADU telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang Razaman Ridzuan.

Ketua Peneroka FELDA Krau 1 Zakaria Saparun, 60, menzahirkan hasrat beliau untuk membantu penduduk setempat bagi mendaftar sistem PADU supaya mereka yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Fadzli Mohamad Kamal dan Jabatan Perangkaan kerana memberikan penerangan yang tuntas berkaitan sistem PADU dan membantu penduduk FELDA Krau 1 dalam urusan pendaftaran sistem ini.

“”Rata-rata penduduk yang hadir teruja dan berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan,” ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda