Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah (Sabah)
TUARAN, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Pertandingan Bintang Soromas antara usaha dilaksanakan bagi mengangkat budaya, tradisi terutama bahasa ibunda Bajausama agar khazanah berharga antara etnik terbesar di Sabah ini terus diperjuangkan oleh generasi mudanya.
Pengerusi Pertandingan Bintang Soromas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Rumpun Bajausama Sabah Noorziah Mastan, berkata pertandingan nyanyian ini diadakan bagi mengetengahkan bakat anak seni dan lagu kreatif Bajausama ke pentas global.
“Dalam pertandingan ini, hanya satu kategori dipertandingkan iaitu lagu bermotifkan lagu rumpun Bajausama, selain itu turut dipertandingkan vokal terbaik dan persembahan terbaik.
“Kita telah mengadakan saringan awal dengann 15 peserta bersaing sebelum lapan peserta dipilih ke peringkat akhir,” katanya ketika ditemui di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajausama Sabah sebelum pertandingan akhir yang diadakan malam semalam.
Antara peserta yang ditemui, Siti Faiza Dullah, 33, dari Kampung Tinuhan Tengilan mempertaruhkan lagu ‘Tuturan Jomo’, berkata pertandingan ini membantu meningkatkan penguasaannya dalam bahasa Bajausama.
“Macam saya sendiri, jarang berbual bahasa Bajau kerana biasanya menggunakan bahasa Melayu jadi agak susah juga untuk menghafal lagu ini yang mengambil masa seminggu.
“Saya harap agar lebih banyak acara seperti ini diadakan pada bila-bila masa agar generasi muda kini kurang sudah mendengar bahasa Bajau kerana dalam pergaulan pun banyak menggunakan campuran bahasa,” ujarnya.
Sementara itu, pengunjung program, Nurazmah Tasin, 41, saya teruja menyaksikan persembahan peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan Soromas.
Sebagai seorang komposer dikenali sebagai Mawar Kausar, Nurazmah memuji usaha penganjuran program seumpama ini supaya lebih ramai bakat muda penyanyi tempatan dilahirkan terutama daripada etnik Bajausama.
“Saya tengok ramai penyanyi dalam kalangan peserta sememangnya berbakat, miliki suara yang baik dan boleh digilap lagi pada masa akan datang.
“Cuma saya berharap agar penyanyi Bajausama lebih mengikuti arus muzik terkini atau rentak moden supaya karya mereka berupaya menarik minat generasi muda terhadap lagu-lagu Bajausama.
Untuk rekod, Pertandingan Bintang Soromas dianjurkan bersempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 yang berlangsung pada 25 hingga 28 Februari 2024 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Lok Batik, Tuaran.
-ZS-