Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Warisi Bakat Seni, Ahli KELASI Santuni Pelajar di Luar Bandar

By 26 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sitti Jakiyah/Noorsiah Mahmud (Sabah)

TUARAN, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Dalam usaha memartabatkan seni lukis, setiap tahun Kelab Laman Seni Lukis (KELASI) akan mengadakan program Kembara Seni yang merupakan aktiviti turun padang ke sekolah-sekolah di luar bandar.

Ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 2015, KELASI yang kini disertai lebih kurang seramai 30 orang ahli, berperanan memberi pendedahkan berkaitan pendidikan seni kepada pelajar Sekolah Menengah di luar bandar.

Pengerusi KELASI Sabah Mohd Halim Moksin, 52, berkata kelab tersebut turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi sekaligus menyumbang kepada pencapaian matlamat program.

“KELASI turut menerima geran bantuan daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Balai Seni Lukis bagi memudahkan pengurusan logistik dan tenaga kerja.

“Selepas bersara awal daripada perkhidmatan awam, saya kembali menceburi bidang seni lukis dan bersyukur apabila hasil karya saya mendapat sambutan dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui di reruai pameran sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik, di sini semalam.

Ahli KELASI yang juga penggiat seni lukis Maduni Majidin, 70, berkata beliau mula aktif melukis bersama Balai Seni Lukis Sabah sejak tahun 1985 dan mencurahkan bakti bersama kelab tersebut sehingga ke hari ini.

“Saya telah melibatkan diri dengan aktiviti seni lukis selama 39 tahun dan telah memenangi beberapa anugerah antaranya adalah Anugerah Tokoh Penggiat Seni Sabah daripada Pertubuhan Seni Budaya Etnik Sabah pada 2019 dan Anugerah Ikon Seni Sabah daripada Persatuan Pelukis Seni Visual Sabah.

“Di samping melukis, saya juga membuat seni ukiran kayu, arca, mencanting batik dan khat jawi. Hasil kerja seni saya biasanya ditempah khas untuk sesuatu program dan dijadikan cendermata, saya berharap akan dapat terus berkarya selagi mampu dan berharap pelapis-pelapis dapat mengekalkan hasil seni kita pada masa akan datang.” ujarnya.

Untuk makluman, Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama yang berlangsung mulai 25 hingga 28 Februari 2024 turut dimeriahkan dengan pameran pelbagai persatuan, produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), pertandingan Bintang Soromas, Pertandingan Ratu Serimpak dan lain-lain.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda