Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Aktiviti Air Masih Tidak Dibenarkan di Tanjung Balau

By 20 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Al-Tarmizi Azmi (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Pantai Tanjung Balau yang merupakan salah satu destinasi pelancongan di daerah ini masih berstatus bendera merah di mana segala aktiviti air masih tidak dibenarkan sehingga penghujung bulan Mac 2024.

Menurut Ketua Penyelamat Pantai Tanjung Balau Salahudin Abu Bakar, 52, para pengunjung yang datang ke pantai dibenarkan melakukan aktiviti rekreasi sahaja.

“Bendera amaran telah dipacak sebelum musim tengkujuh bagi memberi peringatan kepada pengunjung yang hadir berkenaan situasi ombak besar di pantai ini.

“Sebagai penyelamat, kami mengambil inisiatif awal untuk menghalang pengunjung yang tidak mematuhi amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan hasilnya tiga tahun kebelakangan ini, tiada kejadian lemas dilaporkan di pantai ini,” katanya semalam.

Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui Ramli Pain, 70, berkata Pantai Tanjung Balau masih boleh dikunjungi tetapi pengunjung perlu sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Aktiviti perniagaan saya iaitu All-Terrain Vehicle (ATV) di kawasan pantai ini masih berjalan seperti biasa dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah.

“Pengunjung digalakkan hadir, namun diminta untuk mematuhi amaran yang dikeluarkan untuk keselamatan semua,” ujarnya.

Pantai Tanjung Balau merupakan pantai yang diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Kawasan pelancongan ini dibuka setiap hari dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk rekreasi pelancong dari dalam dan luar negara seperti tapak perkhemahan, pelantar jeti dan kemudahan-kemudahan asas yang lain.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda