Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

JPKK Agen Pemangkin Pengukuhan Adat Perpatih dan Tanah Adat Negeri Sembilan

By 22 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Muhammad Fazlan Shah

KUALA PILAH, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Kepentingan memahami dan mengekalkan semangat adat Perpatih yang merupakan adat warisan unik dipusakai daripada nenek moyang orang-orang Melayu di Negeri Sembilan menjadi misi utama khususnya dalam kalangan pentadbir komuniti.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Melayu Islam Beradat Negeri Sembilan (PMiBNS) Kamaruzaman Husin, usaha memberi pendedahan kepada semua pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan  Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah yang berada dalam Luak Ulu Muar ini merupakan langkah yang proaktif memandangkan golongan ini mewakili penduduk dan sering berhadapan dengan isu tanah adat.

“Pengukuhan mengenai asas adat Perpatih dan tanah adat ini seiring dengan semangat bidalan, ‘adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah, kuat adat tak gaduhkan hukum, kuat hukum tak gaduhkan adat, ikut hukum muafakat, ikut adat muafakat,” katanya yang ditemui sempena Seminar Bicara Adat Perpatih dan Tanah Adat, kelmarin.

Katanya, masyarakat adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu perut, suku dan luak.

“Perut adalah unit sosiopolitik yang kecil anggotanya berasal dari moyang (keturunan perempuan) yang sama.

“Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di satu perkampungan atau kawasan yang sama diketuai oleh seorang ketua digelar buapak,” ujar beliau semasa menyampaikan penerangan.

Menurutnya lagi keakraban ini menjadi teras kepada kejayaan dan keharmonian penduduk dan seterusnya membentuk suku dan luak yang sejahtera.

Program ini telah dirasmikan oleh Ahli DUN Kawasan Pilah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Noor Zunita Begum Ibrahim.

Turut hadir Penghulu Pilah Nor Saidi Sulaiman, Dato-Dato Lembaga Penyandang Pusaka Luak Ulu Muar dan kepimpinan persatuan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda