Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Kembara Amal Bermotor 2024 Singgah di Dungun

By 28 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/FB Khairul Anuar Basri

DUNGUN, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Pasangan suami isteri mengabadikan kenangan ulang tahun ke-20 perkahwinan dengan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia selama lapan hari bermula 24 Februari lalu dan singgah di Dungun semalam.

Mohamed Khairul Anuar Basri, 46, dan  Yuhana Abdul Rahman, 44, menjelajah ke-40 masjid dan surau dengan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada semua masjid atau surau yang disinggahi sepanjang lapan hari tempoh penjelajahan. Sumbangan tersebut adalah melalui tabung pertubuhan Kejar Akhirat Bersama (KAB) yang ditubuhkan bersama hasil sumbangan teman rapat dan pengikut media sosial.

Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri yang merupakan seorang usahawan dan personaliti televisyen, berkata sumbangan berkenaan juga boleh dimanfaatkan sebagai sebahagian persiapan pihak masjid atau surau untuk menyambut Ramadan.

“Alhamdulillah, Allah SWT memberi idea untuk menyampaikan sumbangan dan penjelajahan saya tidak kosong.

“Kita tak nak seronok-seronok saja, kita nak buat sesuatu untuk kenangan, namun pada masa sama kenangan meraih pahala berpanjangan serta dapat berkenalan dengan ramai orang,” ujarnya.

Menurut Khairul dan Yuhana, mereka bersyukur kerana dapat menjadi ‘orang tengah’ antara penyumbang dan masjid serta berharap ianya dapat menampung perbelanjaan Ramadan dan memberi manfaat kepada golongan sasar.

Destinasi pilihan pasangan suami isteri ini di Dungun adalah Surau Lilmuttaqin Kampung Pulau Serai sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu.

KAB bermula di Negeri Sembilan diikuti Melaka, Terengganu sebelum mengakhiri penjelajahan di utara Semenanjung Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda