Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pendaftaran PADU Bersasar Mudahkan Penduduk Luar Bandar

By 28 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Program pendaftaran maklumat di sistem Pangkalan Data Utama (PADU) secara bersasar mengikut kampung memudahkan urusan penduduk luar bandar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Selarong Alias Hashim, 58, Kampung Selarong adalah kampung ketiga setelah Kuak Luar dan Ayer Panas di Mukim Pengkalan Hulu yang melaksanakan program ini.

“Program dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Pengkalan Hulu, Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Jabatan Perangkaan dan JPKK ini menunjukkan usaha semua pihak bagi memaksimumkan pendaftaran PADU seperti yang disarankan kerajaan.

“Inisiatif ini memudahkan penduduk, menjimatkan masa mereka selain pendaftaran dibantu oleh petugas agensi yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Selarong, di sini kelmarin.

Seorang penduduk, Mazlan Che Man, 60, yang juga pesara guru turut mengambil peluang untuk mendaftar PADU selepas sibuk dengan pelbagai urusan.

“Penganjuran program ini memberi peluang kepada mereka yang kurang mempunyai masa untuk mendaftar apatah lagi apabila ia dilaksanakan di tempat sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, petugas Jabatan Perangkaan Tengku Syazwana Tengku Razman, 24, berharap agar penduduk tidak terpengaruh dengan momokan berita palsu mengenai PADU kerana boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mencapai kadar maksimum pendaftarannya.

Program yang bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 5.00 petang itu berjaya mendaftarkan 80 penduduk.

-ZS-

Tinggalkan komen anda