Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Kawasan Belukar Kini Berwajah Baharu

By 28 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nur Sakinah Roshan/DBKL (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Kawasan belukar berkeluasan 2.5 ekar kini telah berwajah baharu sebagai sebuah taman kejiranan yang indah, selesa dan selamat untuk dimanfaatkan oleh warga Kuala Lumpur khususnya warga Bandar Tun Razak.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memperuntukkan RM1.7 juta untuk membangunkan taman yang dikenali sebagai Taman Kejiranan Ikhlas itu sejak 2016 dan telah siap sepenuhnya pada Mei tahun lalu.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Haji Kamarulzaman Mat Salleh, taman kejiranan itu dilihat mampu memberi nilai tambah kepada kualiti kehidupan masyarakat setempat seiring dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) 2030.

Taman Kejiranan Ikhlas itu dilengkapi pelbagai fasiliti untuk kegunaan setiap peringkat umur.

Antaranya taman permainan kanak-kanak, alat senam riang, mini balapan dan pejalan kaki. Ianya juga dilengkapi dengan pencahayaan bagi kemudahan untuk akitiviti riadah pada waktu malam.

“DBKL amat komited memfokuskan pembangunan kawasan hijau terbiar untuk dijadikan taman kejiranan. Sebanyak lima lokasi kawasan hijau di Kuala Lumpur telah berjaya dibangunkan sepanjang 2023.

“Selain itu, DBKL juga berusaha mewujudkan lebih banyak kawasan hijau di Kuala Lumpur menerusi program penanaman pokok bagi menyokong Kempen Penanaman 1 Juta Pokok yang melibatkan penglibatan agensi dan NGO menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” jelas Kamarulzaman mengenai komitmen pihaknya dalam menjayakan Pelan Induk Inisiatif Masyarakat Rendah Karbon menjelang 2030.

Terlebih dahulu, perasmian Taman Kejiranan Ikhlas itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, semalam.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda