
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)
SIK, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Satu ketika dahulu, sukan memanah mungkin agak asing serta dianggap eksklusif kerana hanya menjadi hobi golongan elit.
Tetapi kini, seiring dengan perubahan masa sukan sunah ini kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengurus Kelab Memanah Tradisional Musaddid, Mohd Faizal Abd Wahab kini memanah menjadi trend dan semakin diminati oleh pelbagai lapisan usia.
“Jadi tidak hairanlah sejak usia seawal empat tahun lagi sudah ada ibu bapa yang mula menghantar anak untuk mengikuti kelas memanah.
“Memanah bukan sekadar riadah tetapi boleh menjadi terapi diri bagi melatih emosi dan fizikal seseorang untuk menumpukan perhatian, bertenang dan menstabilkan emosi,” katanya ketika ditemui di Lapang Sasar Musaddid, Kampung Tanjung Setar, di sini semalam.
Menurutnya lagi, pelbagai usaha dilakukan oleh kelab dan persatuan memanah bagi mengembangkan lagi sukan ini serta melahirkan lebih ramai pemanah-pemanah yang hebat.
“Kanak-kanak yang menyertai aktiviti memanah akan lebih fokus, tenang dan yakin kerana ciri-ciri itu sangat diperlukan seorang pemanah untuk melepaskan anak panah ke sasaran dengan baik,” katanya.
-ZS-