Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Mesej dan Pengertian Ayat Al-Quran dapat Disampaikan Melalui Pertandingan Tilawah Al-Quran

By 19 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Penganjuran majlis tilawah al-Quran bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan atau kelunakan suara para qari atau qariahnya tetapi apa yang lebih penting adalah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada penonton.

“Majlis perujian membaca al-Quran memberi peluang kepada pendengar ayat-ayat suci al-Quran al-Karim yang dibaca oleh para qari dan qariah dengan penuh kesungguhan dan dihiasi dengan taranum, fasohah dan tajwid yang betul.

“Sama-samalah kita menyemarakkan aktiviti-aktiviti keagamaan yang semakin lesu penyertaannya dalam kalangan masyarakat kita kerana hilangnya minat dan rasa cinta kita kepada aktiviti yang berbentuk keagamaan dan ini menunjukkan betapa lemah dan rapuhnya iman kita sebagai seorang Islam,” katanya.

Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Segamat di Masjid UiTM Segamat, di sini semalam.

Tilawah yang disertai 17 orang peserta untuk mewakili daerah Segamat di peringkat negeri Johor itu turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran seramai 300 orang pengunjung.

Muhamad Haiz Humaizi Mohamad Hamizan, 21, dan Nor Syuhada Muhamad, 34, dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah dengan mendapat 89 peratus markah manakala Nor Syuhada Muhamad 88 peratus.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Buluh Kasap Datuk Zahari Sarip, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Mohd Helmi Datuk Sa’ari, Kadi Daerah Segamat Muhamad Hamizan Sayuti, Rektor UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat Profesor Madya Dr Saunah Zainon, Yang Dipertua Majlis Daerah Labis Shamsul Ariff Sulaiman dan Nor Sofian Abdul Manan Pegawai Penerangan Daerah Segamat.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda