Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pernah dapat RM2.70 Sehari, Usahawan OKU Cekal Teruskan Perniagaan

By 22 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/Berry Taimin (Sabah)

PENAMPANG, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Biarpun dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki, Francis Xavier Kinjin, 39, tidak pernah sekalipun mengalah dengan dugaan yang dihadapinya dan terus berjuang demi kelangsungan hidup yang lebih baik.

“Saya pernah bekerja seawal pukul 6.00 pagi sehingga 12 tengah malam dan hanya memperoleh pendapatan RM2.70 dalam masa satu hari.

“Malah saya juga pernah mendapat bantuan geran niaga daripada Jabatan Kebajikan pada tahun 2017 sebanyak RM15,000 untuk kedai runcit yang berbentuk barang perniagaan,” katanya.

Dengan kekangan yang dihadapinya, anak bongsu daripada lima adik-beradik itu dikurniakan bakat dan kemahiran semula jadi membuat perabot kecil, ukiran serta menghasilkan kraftangan daripada kayu untuk dijual.

Lebih senang dikenali sebagai Oliver Putut beliau, berkata semuanya bermula daripada hobi yang kemudian secara perlahan-lahan mendapat permintaan pelanggan sebelum dikembangkan kepada sebuah perniagaan yang masih dijalankan sejak tahun 2015.

“Saya bermula daripada minat, tidak sangka bakat ini boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama dan dapat permintaan yang agak mengalakkan daripada orang ramai yang kebanyakan pelanggan selalu membuat tempahan dengan saya daripada komuniti setempat.

“Selain itu, ada juga pelanggan daripada semenanjung, negara Brunei dan yang paling jauh setakat ini dari negara Arab Saudi yang menempah ‘rosary’ (tasbih) untuk upacara sembahyang bagi yang beragama Kristian,” kongsinya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Dabak, di sini hari ini.

Sebati dengan asam garam kehidupan sebagai seorang usahawan Orang Kurang Upaya (OKU), beliau mahu mereka yang senasib dengannya untuk berani mencari peluang dalam apa jua bidang agar boleh hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

“Saya berharap OKU di luar sana dapat menceburi bidang keusahawanan, jangan pernah takut untuk mengeluarkan modal perniagaan, kerana ada kalanya kita tidak perlu menunggu ada modal baru kita mulakan perniagaan, guna sahaja modal yang kita ada.

“Pihak kerajaan memperuntukan banyak bantuan untuk komuniti OKU seperti bantuan geran niaga yang saya diterima pada tahun 2017 lalu,” katanya.

Untuk makluman, Oliver pernah mendapat pingat Perak mewakili negeri Sabah dalam Para Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 dalam acara angkat berat pada tahun 2022 di Kuala Lumpur dan kini sedang menjalani latihan bagi persediaan SUKMA edisi ke-21 di negeri Sarawak pada Ogos 2024.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda