Laporan/foto: Muhammad Naim/Siti Zuraida
JEMPOL, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Program Jualan Rahmah (PJR) ‘Back to School’ peringkat Negeri Sembilan, di sini semalam.
Program yang berlangsung secara serentak di semua Parlimen di seluruh Negeri Sembilan bermula hari ini dan berakhir pada 26 Februari, bertujuan memberi bantuan secara tidak langsung kepada rakyat Negeri Sembilan sekali gus mengurangkan kos sara hidup mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Veerapan Superamaniam, program ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada 86,510 orang pelajar sekolah rendah dan 109,672 orang pelajar sekolah menengah dalam Negeri Sembilan.
“Sebanyak 18 pasar raya turut serta bagi menjayakan program ini antaranya Pasaraya Gedung Pakaian CY, Pasaraya Pakaian Hari-Hari dan sebagainya,” katanya.
Menurut pengunjung program Zainal Husin, 54, program sebegini sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan mempuyai anak yang ramai.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran, Perniagaan KPDN Datuk Rohaizi Mazlan dan wakil ketua-ketua jabatan daerah Jempol.
-ZS-