Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Dekati Rakyat Melalui Ziarah Kasih, Elakkan Keciciran Bantuan

By 23 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Program Ziarah Kasih Mukim Tanjung Kupang mampu menjadi program yang membawa pemimpin masyarakat mendekati rakyat selain meneliti permasalahan yang dihadapi mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata menziarahi golongan yang memerlukan bukan sekadar menyampaikan sumbangan tetapi mencari jalan penyelesaian agar golongan ini terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.

“Walaupun pada hari ini ada yang menerima bantuan terus daripada agensi yang terlibat tetapi bantuan lain seperti sara hidup bulanan juga akan diusahakan bagi meringankan tanggungan hidup masing-masing,” katanya semalam.

Jelas Pandak, bagi mengelakkan keciciran menerima bantuan, orang ramai juga digalakkan mengisi maklumat diri dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selain berjumpa dengan ketua-ketua kampung dalam kawasan masing-masing untuk menyalurkan aduan.

Sementara itu, warga emas Robiah Mohd Ali, 72, menyifatkan rombongan ziarah kasih ke rumahnya ini sebagai tanda prihatin masyarakat sekeliling terhadap golongan memerlukan sepertinya.

“Walaupun saya tidak kenal semua yang datang hari ini tetapi saya hendak ucapkan terima kasih kepada semua yang datang dan sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda