Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

PUSPANITA Bukan Sekadar Persatuan

By 20 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 80 orang jawatankuasa dan ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) daerah Pasir Puteh berkumpul bagi menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan  PUSPANITA Sri Pasir Puteh kali ke-9 Tahun 2024 di Dewan Majlis Daerah Pasir Puteh, di sini kelmarin.

Program ini merupakan acara rasmi tahunan yang menjadi suatu platform pertemuan antara ahli dan jawatankuasa PUSPANITA setiap daerah.

Hal ini bertepatan dengan antara objektif persatuan iaitu bagi memperkasa dan mengupayakan ahli serta memperluas rangkaian strategik.

“Hasrat PUSPANITA adalah untuk menjadikan suri dan anggota wanita perkhidmatan awam seorang yang berdaya saing, berilmu, berketerampilan dan bertakwa.

“Trdapat lima teras utama yang menjadi panduan PUSPANITA untuk program yang dilaksanakan dan bukan sekadar persatuan sahaja iaitu Keilmuan, Keusahawanan, Kebajikan, Kelestarian dan Kesejahteraan,” ujar Pengerusi PUSPANITA Sri Pasir Puteh Hajah Shahirul Azian Abdul Ghani dalam ucapan aluan beliau.

Dalam ucapan perasmian, Penasihat PUSPANITA Sri Pasir Puteh, Tuan Haji Ahmad Adlee Yasin, berkata beliau kagum dengan semangat seorang wanita kerana sentiasa cekal serta mempunyai daya saing yang sangat tinggi bagi memperkasakan ekonomi diri dan keluarga.

“Wanita merupakan tonggak institusi kekeluargaan dan juga pemangkin kepada masyarakat serta negara.

“Hal ini dapat dilihat jelas jika berkunjung ke Pasar Siti Khadijah atau Wakaf Che Yeh kerana 95 peratus sektor ekonomi dikuasai peniaga wanita,” ujarnya.

Menurut ahli dan penjawat awam Norhayati Rain, 40, beliau tidak melepaskan peluang untuk hadir setiap kali mesyuarat PUSPANITA sebagai tanda sokongan dan dapat berkenal-kenalan antara jabatan serta agensi persekutuan atau negeri.

Pelbagai pengisian menarik dalam menjayakan mesyuarat kali ini antaranya pertandingan masakan pasta dan puding buah, pameran, pemeriksaan kesihatan, gerai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan cabutan bertuah.

Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh, Mohammad Sany Sattar serta rombongan PUSPANITA Negeri Kelantan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda