Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pengiktirafan Tapak Ramsar Tasek Bera Meningkatkan Penjanaan Ekonomi Komuniti Setempat

By 20 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Muhammad Fitri Halim (Bera)

BERA, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Pengiktirafan Tapak Ramsar Tasek Bera telah menaikkan profil kawasan ini sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, pengiktirafan ini turut meningkatkan penjanaan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti ekopelancongan, serta membangunkan kapasiti dan kepakaran negara dalam pemuliharaan dan pengurusan tanah lembap melalui jaringan kerjasama strategik dengan negara-negara luar.

“Bagaimanapun, pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada Tasek Bera bukanlah sekadar sesuatu yang kita semua boleh banggakan, tetapi ia sewajarnya menjadikan kita lebih komited dalam menyokong usaha-usaha konservasi biodiversiti dan menggalakkan aspek pembangunan lestari di kawasan ini,” ujarnya sewaktu berucap sempena Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap 2024, di sini semalam.

Ujarnya lagi, semua pihak perlu mengambil langkah proaktif untuk menjamin kelestarian Tapak Ramsar Tasek Bera dengan meningkatkan tatakelola kawasan ini termasuk mengawal aktiviti-aktiviti pembangunan yang mendatangkan impak negatif serta meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Sebanyak tujuh kawasan tanah lembap telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar di Malaysia iaitu Tasek Bera di Pahang pada tahun 1994; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor pada tahun 2003; Kuching Wetlands National Park di Sarawak pada tahun 2005; Lower Kinabatangan-Segama Wetland di Sabah pada tahun 2008; dan Kota Kinabalu Wetland juga di Sabah pada tahun 2017.

-ZS-

Tinggalkan komen anda