Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Muhammad Ali Tekad Martabat Tanjak Warisan Melayu

By 20 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan Awang (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Pemakaian tanjak atau di sesetengah negeri disebut tengkolok atau destar melambangkan status sosial dalam masyarakat serta sering dikaitkan dengan istana dan kepahlawanan pada zaman dahulu.

Pakaian warisan jati diri masyarakat Melayu ini dilihat semakin luput ditelan dek zaman dan kurang popular dalam kalangan generasi muda masa kini.

Pemilik Karya Jemari Kayangan Muhammad Ali Yusof, 52, mengambil pendekatan memartabat pemakaian tanjak dalam masyarakat menerusi perniagaan tanjak di Kampung Dura, di sini sejak sedekad yang lalu.

“Terdapat pelbagai jenis tanjak dan berbeza-beza nama serta bentuk mengikut negeri tertentu dan terdapat lapan jenis tanjak di Terengganu.

“Antaranya Tanjak Belalai Gajah dipakai oleh Sultan Terengganu, Tanjak Anak Belalai Gajah dipakai oleh Tengku Mahkota Terengganu, Tanjak Laksamana Terengganu, Tanjak Bendahara Terengganu dan Tanjak Bija Diraja,” jelasnya kelmarin.

Setiap jenis tanjak yang dipakai oleh golongan tertentu memberi maksud pada status pemakainya. Kini, pemakaian tanjak dapat dilihat di acara istiadat istana dan di majlis perkahwinan dipakai oleh pengantin lelaki.

Salah seorang pelanggan tetap di Karya Jemari Kayangan Az-Zubairi, 31, berkata beliau sering ke sini untuk menyewa set lengkap busana melayu bagi menghadiri acara-acara rasmi yang bertemakan tradisional klasik melayu.

“Pemakaian tanjak perlu dikekalkan supaya tidak terhakis dan ditelan zaman kerana ia merupakan warisan budaya yang melambangkan jati diri bangsa Melayu dan perlu dipertahan oleh generasi muda pada hari ini,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda