Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

‘Sungai Viral’ Jadi Tarikan Pelancong di Musim Kemarau

By 15 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Yusmila Yusof (Sik)

SIK, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Keindahan sungai berbatu dan pemandangan yang masih hijau di kiri dan kanan sungai menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan luar negeri bagi memanfaatkan musim cuti persekolahan ini.

Sungai Kuala Muda atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Sungai Viral’ ini mula meraih perhatian ramai sejak setahun yang lalu.

Salah seorang pengunjung Asma Ismail, 49, berkata sepanjang cuti sekolah ini beliau kerap membawa ahli keluarganya ke sini untuk berkelah dan mandi-manda.

“Kami sering ke sini untuk mandi-manda.

“Anak-anak suka kerana airnya cetek,” ujarnya yang tinggal di Perumahan Bandar Baru Beris Jaya, di sini.

Pada musim kemarau bermula Disember hingga Februari, kawasan ini menjadi tumpuan terutama buat pengunjung yang mahu berendam dalam sungai ketika cuaca terik melanda.

Salah seorang penduduk kampung, Abdul Roni Ahmad, 45, berkata pada musim kemarau, air sungai jernih dan keadaan sungai yang cetek di beberapa tempat memberi peluang kepada orang ramai untuk mandi-manda, berkelah serta melakukan aktiviti santai bersama keluarga.

“Selain menjadi destinasi pelancongan baharu di daerah ini, ia juga dapat menambah pendapatan penduduk kampung dengan membuka gerai jualan makanan dan minuman di situ,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda