Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Wellness Hub Bendung Gaya Hidup Sedentari

By 1 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Sunday Grace Justimus (Sabah)

PUTATAN, 1 Feb (Malaysiaktif) – Gaya hidup sedentari antara isu pengurusan kesihatan yang dapat dibendung sekiranya masyarakat melibatkan diri secara aktif melalui program kesihatan di pusat aktiviti Wellness Hub.

Dikendalikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Wellness Hub menggabungkan pelbagai perkhidmatan kesihatan antaranya saringan risiko kesihatan, ujian kecergasan dan program Pengurusan Berat Badan (IFitEr).

Menurut Pegawai Pendidikan Kesihatan Wellness Hub Putatan Froline Pius pengoperasian pusat tersebut sangat signifikan bagi menggiatkan usaha JKNS mempromosi gaya hidup sihat dengan lebih strategik dan efektif kepada masyarakat pelbagai peringkat umur.

“Kini ramai individu mula mengamalkan gaya hidup sedentari,  kurang aktif dan ini antara punca adanya isu kesihatan seperti obesiti, diabetes serta darah tinggi kemudian kita lakukan saringan risiko kesihatan serta ujian kecergasan.

“Selepas melakukan saringan kesihatan, kita akan tawarkan kepada klien program yang sesuai mengikut tahap kesihatan mereka, termasuk program IFitEr yang kita akan buat secara percuma selama enam bulan bersama jurulatih kesihatan yang terlatih,” katanya ketika ditemui di Wellness Hub Putatan pada Rabu.

Sementara itu bagi Ismail Hussein, 70, antara warga emas yang menggunakan fasiliti gimnasium di Wellness Hub berkata pusat tersebut sangat memudahkan beliau untuk menjalani aktiviti fisioterapi dengan lebih mudah berbanding di rumah.

“Biasanya saya akan berjoging di kawasan taman, tapi di sini lebih lengkap dengan peralatan fisioterapi selain ada jurulatih yang akan memantau setiap aktiviti fizikal yang saya lakukan,” ujarnya.

Bagi Noreliyaliza Son, 46, beliau menyertai latihan di Wellness Hub sejak tahun 2022 lalu dan kini berjaya menurunkan berat badan ke tahap yang ideal.

“Di sini ada pakar pemakanan dan jurulatih akan membantu dan berkongsi cara pemakanan yang betul, kaedah senaman yang sesuai,  saya mula di pusat ini sejak tahun 2022 berat saya turun daripada 65 kilogram (kg) sekarang 57 kg,” katanya.

Untuk rekod, terdapat lima pusat aktiviti kesihatan Wellness Hub beroperasi di Sabah iaitu di Putatan, Kudat, Tandek (Kudat), Keningau dan Lahad Datu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya gimnasium, klinik senaman dan khidmat rundingan cara hidup sihat.

Wellness Hub dibuka kepada masyarakat awam bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda