Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

12 Buah Kenderaan Terlibat Kemalangan

By 26 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Satu kejadian kemalangan telah berlaku di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling, di sini pada pukul 4.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, berkata sebanyak 12 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan berkenaan iaitu satu treler, tiga buah lori dan lapan buah kereta.

“Punca berlakunya kemalangan apabila sebuah kereta jenis Mercedes Benz hitam dari arah Perling telah mengubah laluan dari lorong tengah ke lorong kanan dan menyebabkan treler berkenaan dari arah belakang tidak sempat mengelak dan terus melanggar kereta tersebut dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar 10 buah kenderaan yang sedang berada dalam kesesakan lalu lintas.

“Akibat daripada kemalangan berkenaan, tiga orang pemandu mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi awam yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan.

Tular di media sosial sejak lewat petang semalam berkenaan kemalangan yang berlaku melibatkan 12 buah kenderaan telah mendapat perhatian umum.

-ZS-

Tinggalkan komen anda