Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

13 Terima Anugerah Penghargaan Sempena Hari Polis Daerah Sik

By 27 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Insp. Norsuhadah Md Shah (Sik)

SIK, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 13 orang anggota polis dan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) menerima sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Polis ke-217 peringkat daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, di sini kelmarin.

Daripada jumlah itu, 11 anggota polis mewakili pelbagai pangkat dan bahagian menerima sijil atas prestasi cemerlang yang dipamerkan sementara dua ahli PERKEP turut menerima penghargaan.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Polis (DSP) Abdull Razak Osman, berkata dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa sedia berkhidmat untuk memikul mandat dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Saya juga menyanjung tinggi pengorbanan dan amat berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh setiap warga pasukan dalam memikul amanah kerajaan,” katanya.

Jelasnya lagi, jalinan akrab ahli masyarakat sebagai rakan strategik terpenting PDRM, banyak membantu dalam usaha pencegahan jenayah sekali gus membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan cintakan keamanan.

“Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga pasukan untuk pasakkan tekad dan bulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda