Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam/Pusat Sumber Ketua Menteri Melaka (Melaka Tengah)
MELAKA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – 390 orang penerima yang berkelayakan dari 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen dalam Daerah Melaka Tengah menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri telah menyampaikan sumbangan Ramadan berjumlah RM39 ribu beserta kit makanan pada Majlis Bantuan Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka di Masjid Al Alami, di sini semalam.
Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sumbangan yang disampaikan ini dapat membantu tuntutan sepanjang bulan Ramadan dan terus memberi sinar kebahagiaan untuk menyambut bulan Syawal akan datang bersama keluarga di samping menjadikan perayaan tersebut satu kegembiraan kepada penerima.
“Untuk makluman semua, kerajaan negeri sentiasa cakna terhadap aspek kesihatan bagi golongan warga emas dan juga mereka yang kurang berkemampuan.
“Sebagai satu inisiatif kepada rakyat, negeri Melaka telah menyediakan satu perkhidmatan ambulans B40 untuk kegunaan pesakit yang berkelayakan di bawah pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa menegaskan agar jabatan, agensi dan wakil-wakil rakyat serta kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi untuk sentiasa turun padang dan merasai denyut nadi rakyat agar suara mereka didengari dan kebajikan disantuni,” ujarnyanya.
-ZS-