Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Aidilfitri: ANIH Berhad Siap Sedia Terima Pertambahan Kenderaan di KLK, LPT

By 23 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 23 Mac (Malaysiaaktif) – ANIH Berhad menjangkakan jumlah aliran trafik harian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan meningkat sebanyak 180,000 kenderaan iaitu 71 peratus berbanding hari biasa bermula 6 April ini.

Sementara di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula dijangka mencapai sehingga 90,000 kenderaan berbanding hanya 45,000 pada hari biasa iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya sedang mempertingkatkan persiapan menghadapi gelombang pertambahan kenderaan sempena cuti Aidilfitri itu.

“Kakitangan bertugas akan ditambah sebanyak 20 peratus pada musim perayaan bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol.

‘Kami juga berikan penekanan kepada tiga aspek membabitkan operasi iaitu kelancaran di plaza tol serta kawasan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) serta trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Jalan Raya Ramadan dan Syawal anjuran Yayasan Ikhlas di Plaza Tol Gombak semalam.

Turut hadir Pengarah Penyelidikan Kejuruteraan Jalan Raya dan Persekitaran (Reer) Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Muhammad Marizwan Abdul Manan dan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Bilal Jailani.

Sebanyak 300 Pek Ramadan ‘on-the-go’ telah diedarkan kepada pengguna jalan raya sempena program tersebut.

Sementara itu Bilal Jailani berkata, kempen itu merupakan usaha kolaboratif Yayasan Ikhlas bersama Anih Berhad serta MIROS yang sama-sama berusaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya.

“Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, marilah kita mengukuhkan rasa kasih sayang, peduli dan bertanggung jawab terhadap satu sama lain dengan memastikan keselamatan perjalanan kita bersama.

“Ini merupakan usaha kecil tetapi bermakna dalam menyumbang kepada masyarakat yang lebih selamat dan harmoni,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda