Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

AMSTrust Teruskan Tradisi Santuni Asnaf Semasa Ramadan

By 25 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 25 Mac (Malaysiaaktif) – AMS Trust Company Limited (AMSTrust) meneruskan tradisi syarikat itu dalam menyantuni golongan asnaf atau kurang berkemampuan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pada setiap bulan Ramadan.

Menurut Pengerusinya, Azizan Mohd Som CSR yang mereka jalankan untuk Ramadan tahun ini adalah mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga asnaf, warga emas, ibu tunggal dan keluarga kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.

“Kami turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada tiga badan bukan kerajaan iaitu Persatuan Penasihat Kewangan Islam Sabah, Masjid Munawwarah Hulu Langat Selangor dan Masjid Al-Muzakirullah Kampung Lubuk Temiang.

“Kami juga mengadakan Program Ziarah Kasih Ramadan bagi menyantuni 10 keluarga asnaf terpilih di beberapa buah kampung dan setiap keluarga menerima sumbangan berupa barang keperluan harian dan wang tunai RM1,000 untuk persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya yang ditemui semasa Majlis Iftar dan Ziarah Kasih Ramadan AMT Trust, di sini semalam.

Beliau turut berharap agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat yang beroperasi di Labuan akan turut sama memberikan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan di Labuan.

Hadir sama untuk menyampaikan sumbangan duit raya pada majlis itu, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia Labuan Datuk Wira Dr Ramli Tahir, Pengasas Cahayapack (M) Sdn. Bhd. Datuk Gapilin Nasaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kompleks Ujana Kewangan Labuan Johari Mesar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda