Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bahulu Resipi Ibu Bantu Jana Pendapatan

By 20 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Norzila Dolah/Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)

CHANGKAT JERING, 20 Mac (Malaysiaaktif) – “Aku yang dulu, bukanlah yang sekarang.” Itu adalah ungkapan seorang wanita berjiwa kental yang tekad mengubah nasib keluarganya.

Pengusaha Cik Yah Bahulu Warisan Radiah Ramli, 44, membuktikan kesempitan hidup tidak menjadi halangan buat dia dan suami untuk bangkit hingga berjaya mengusahakan kuih tradisional bahulu dengan jenama sendiri.

“Resipi bahulu ini adalah resipi asal ibu saya yang diusahakan sejak saya masih kecil. Kini, saya menggunakan resipi bancuhan yang sama selain turut mendapat tunjuk ajar daripada seorang individu yang banyak berkongsi ilmu.

“Saya mengambil keputusan meneruskan legasi kuih bahulu ini setelah melalui pelbagai rintangan dan kesempitan hidup. Alhamdulillah, kini sudah 17 tahun saya mengusahakan perniagaan ini,” katanya ketika ditemu bual di bengkel miliknya di Kampung Jelutong, Bukit Gantang, di sini kelmarin.

Radiah merupakan seorang peserta e-Kasih yang berjaya memiliki produk keluaran sendiri selain mempunyai sebuah bengkel peruntukan daripada Jabatan Pertanian untuk memproses kuih bahulu.

Tambahnya, dia turut mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Sekretariat Usahawan Perak (STeP), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Amanah Ikhtiar dan pinjaman tanpa faedah daripada Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Syukur, sambutan daripada pembeli amat menggalakkan berikutan harga yang berpatutan iaitu RM13 sebekas dengan 35 biji kuih bahulu,” katanya yang mengusahakan sendiri bengkel bersama suami dan anak-anak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda