Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pertahan Warisan Pastikan Kuih Akok Berevolusi

By 20 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)

MACHANG, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Akok merupakan salah satu kuih atau makanan tradisional yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Kuih akok biasanya dijadikan pencuci mulut atau dimakan sebagai makanan ringan atau sajian semasa minum petang.

Kuih tradisional ini terkenal di pantai timur dengan keenakan rasa lemak dan manis. Kuih akok dibuat berasaskan telur, santan dan tepung. Ia boleh dimasak secara tradisional menggunakan arang dan sabut kelapa sebagai bahan bakar yang menjadikan kuih akok lebih beraroma dan sedap.

Menurut pengusaha Kak Nah Akok Special yang beroperasi di Kampung Padang Kemuning, Tuan Amizuddin Tuan Malik, 49, cara memasak akok juga boleh menggunakan loyang muffin dan dibakar dalam ketuhar atau acuan kuih dan dimasak menggunakan dapur gas.

“Kak Nah Akok Special telah beroperasi sejak 20 tahun lalu dengan hanya bermodalkan dua buah mesin membakar akok sahaja. Kini, Kak Nah Akok Special telah memiliki 8 buah mesin dan akan membuka cawangan baharu di bandar Machang tidak lama lagi.

“Setiap kali tiba bulan Ramadan permintaan terhadap kuih akok amat tinggi dan bukan sahaja mendapat sambutan daripada peminat di kawasan Machang malah turut ditempah oleh pelanggan dari Kemaman dan Dungun, Terengganu. Kuih akok ini adalah warisan ibu yang patut dipertahankan,” katanya lagi.

Terdapat 3 perisa akok yang dihasilkan dan dijual sepanjang bulan Ramadan iaitu perisa jagung RM9, perisa kismis RM9 dan perisa biasa RM8. Sebanyak 1,000 biji akok telah dijual setiap hari di bulan Ramadan, ujarnya lagi.

-AA-

Tinggalkan komen anda