Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Balai Cerap Al-Biruni Medan Pengembangan Ilmu Astronomi ke Peringkat Komuniti

By 13 Mac 2024Mac 18th, 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak

PUTATAN, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah, Tanjung Dumpil, Putatan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat serta penggemar bidang astronomi tempatan sebagai platform memperluaskan pengetahuan berkenaan ilmu falak di kalangan masyarakat umum.

Dark Sky Malaysia antara persatuan yang aktif di Sabah sebagai badan bukan kerajaan (NGO), telah berkolaborasi dengan pelbagai agensi untuk melaksanakan program serta aktiviti berkaitan penyelidikan dan pendidikan ilmu astronomi di peringkat komuniti.

Pengerusinya, Muhammad Luqmanul Hakim Muharam, 32, berkata, balai cerap ini mempunyai peranan yang penting kepada persatuan-persatuan berkaitan bagi mempromosikan ilmu astronomi selain meningkatkan pengetahuan dan minat masyarakat terhadap fenomena cakerawala yang antaranya dapat disaksikan di Sabah.

“Kami boleh membantu agensi berkaitan yang dilantik untuk mencerap anak bulan, selain berkolaborasi sebagai NGO, kami lebih mengutamakan matlamat untukmendidik masyarakat melalui program komuniti dengan memanfaatkannya sebagai platform untuk berkongsi maklumat, pandangan dan kemahiran dalam bidang astronomi.

“Persatuan kami fokus kepada fenomena astronomi seperti hujan meteor, gerhana bulan, gerhana matahari dan pelbagai fenomena luar angkasa, kami aktif media sosial untuk memberikan kesedaran juga terhadap beberapa isu-isu berkaitan antaranya pencemaran cahaya yang masih lagi tidak ramai masyarakat mengetahu tentangnya,” ujarnya ketika ditemui semasa mengikuti Majlis Rukyah Hilal Rasmi di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah di sini pada Ahad.

Sementara itu, pereka grafik, Julkarnain Awang, 28, berkata, beliau berjinak-jinak dalam dunia astronomi sejak dua tahun lalu dan kini masih meneruskan aktiviti mencerap bintang dan bulan menggunakan teleskop selain mempromosikan aktiviti itu menerusi media sosial.

“Saya mula bergiat dalam dunia astronomi ini dua tahun lalu, semasa pandemik dan kemudian saya mula membeli beberapa peralatan seperti teleskop untuk mencerap, bulan, matahari termasuklah planet-planet di orbit angkasa lepas.

“Sebagai orang baru dalam bidang astronomi, balai cerap ini fungsinya sangat signifikan di mana orang awam boleh datang dan merujuk kepada pakar astronomi di sini seterusnya mengembangkan pendidikan berkenaan astronomi dengan lebih luas, selain menggunakan media sosial agar penyampaiannya lebih berkesan,” jelasnya.

Untuk rekod, Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah,Tanjung Dumpil Putatan telah dirasmikan pada 29 Oktober 2007, dan menjadi antara 29 lokasi rasmi tempat melihat anak bulan di seluruh negara yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kota Kinabalu sekaligus menjadi satu-satunya balai cerap di negeri ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda