Laporan/foto: Faisal Tarmizi (Kuala Kangsar)/Suzira Zainol Abidin (Perak)
KUALA KANGSAR, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Buah kabung atau lebih dikenali sebagai buah kanto di Perak menjadi pencuci mulut yang dicari-cari pada bulan Ramadan. Buah ini akan diproses terlebih dahulu sebelum boleh dimakan kerana kulitnya mengeluarkan getah yang gatal seterusnya berbahaya jika dimakan begitu saja.
Peniaga buah kanto, Othman Basri, 55, berkata proses menyediakan buah ini agak sukar kerana memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Memanjat pokoknya saja memerlukan ketahanan kerana kulit badan akan mudah berasa gatal. Kemudian, buah-buah yang dikait ini dipisahkan daripada tandannya sebelum direbus bersama kulitnya. Apabila siap direbus, barulah isinya dikeluarkan dan dimasak bersama sirap gula atau dibiarkan kosong begitu saja.
“Buah kanto ini lebih popular pada bulan Ramadan. Kebiasaannya, saya akan menjualnya bermula puasa sehinggalah Hari Raya Aidiladha. Selepas tempoh itu, buah kanto ini kurang mendapat sambutan,” ujarnya ketika ditemui di gerainya, di Bazar Ramadan Arena Square, di sini semalam.
Tambah Othman, pokok buah kanto mudah didapati di tepian Sungai Perak maka, tidak menjadi masalah untuknya mendapatkan stok buah ini jika diperlukan.
Sementara itu, penggemar buah kanto, Azizah Baharudin, 30, berkata buah ini menjadi pilihan untuk juadah berbuka puasa kerana keenakan rasa isinya yang seakan-akan ‘nata de coco’ selain mampu menyejukkan badan.
“Ia lebih sedap jika dimakan sejuk atau dicampur dengan pencuci mulut yang lain. Antaranya dijadikan minuman atau dicampur bersama koktel dan bubur.
“Saya berharap lebih ramai pihak dapat meneruskan tradisi memproses buah ini dan menjualnya kerana agak sukar untuk menemui buah kanto di sesetengah bazar Ramadan,” katanya.
-ZS-