Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Usahawan Muda IKS Tekad Tanam Ubi Kayu Seluas 15 Ekar

By 27 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)/Muhamad Muazzim (Kerepek Makdo)

PASIR PUTEH, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang usahawan muda Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tekad melabur tenaga dan wang untuk menanam ubi kayu di tanah seluas 15 ekar.

Pengusaha Kerepek Makdo Muhamad Muazzim Zulkiflee, 27, berkata ubi kayu merupakan sumber utama bagi perniagaan turun temurun keluarga beliau yang mengusahakan perniagaan kerepek berasaskan ubi kayu dan pisang.

Perusahaannya telah bertapak selama lebih sedekad di Kampung Kemudu Bongkok, di sini yang mula diusahakan oleh ibunya dan kini Muazzim menggalas tanggungjawab untuk mewarisi perniagaan keluarganya.

“Pada kebiasaan bekalan ubi yang saya perolehi adalah dari negeri Perak, namun bagi memastikan bekalan sumber bahan mentah sentiasa tersedia, saya mengambil inisiatif untuk menanam sendiri ubi kayu di tanah di sekitar kawasan berkeluasan 15 ekar.

“Tanaman ubi kayu yang ditanam adalah di tanah sendiri dan saya juga ada menyewa beberapa lot tanah dari masyarakat untuk mengusahakan tanaman ubi keledek ini,” katanya semalam.

Mengulas lanjut berkaitan tanaman ubi kayu yang diusahakan, beliau menjangkakan hasil tuaian satu ekar tanaman adalah sebanyak 10 tan.

Manakala jenis ubi kayu yang ditanam pula adalah dari jenis baka ubi kayu mentega, pontian dan medan.

Tambahnya lagi, bekalan ubi kayu amat penting bagi tujuan pembuatan dan pengeluaran produk syarikatnya yang merupakan produk utama kerepek berasaskan ubi kayu dengan 12 jenis perisa.

“Selain sumber ubi kayu yang digunakan sebagai asas pembuatan kerepek, bahan mentah ini turut mendapat permintaan yang tinggi sewaktu musim tengkujuh sebagai debu ubi kayu yang menjadi bahan utama pembuatan kuih putu halba.

“Pengeluaran ubi kayu sepanjang musim tengkujuh yang lalu mencecah sehingga 4,000 kilogram yang mendapat tempahan dan permintaan daripada kawasan tempatan, Kuala Lumpur dan Johor.”

Menurut Muazzim  lagi, di samping menggerakkan ekonomi tempatan, Perusahaan Kerepek MakDo juga mengambil pekerja dalam kalangan pelajar Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memberikan sokongan kepada golongan OKU mengasah kemahiran bekerja.

“Harapan saya adalah untuk melihat Perusahaan Kerepek MakDo dikenali sebagai snek makanan tradisi tempatan dan semoga masyarakat turut memberikan sokongan penuh kepada produk keluaran hasil IKS yang pastinya dapat membantu usahawan tempatan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda