Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

DOSM Teluk Intan Siap Siaga Hadapi Pendaftaran PADU Saat Akhir

By 30 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/DOSM Teluk Intan

TELUK INTAN, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Pejabat Operasi Jabatan Perangkaan (DOSM) Teluk Intan sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi suasana pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang saat-saat akhir.

Menurut Penolong Pegawai Perangkaan Mohd Mahadzir Tumin, pejabat operasinya menerima kunjungan luar biasa daripada masyarakat setempat yang hadir bagi tujuan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat individu di sistem PADU.

“Sejak awal minggu ini, jumlah kehadiran pengunjung ke pejabat kami meningkat berkali ganda berbanding sebelumnya.

“Justeru kami telah mengambil inisiatif menambah bilangan petugas di pejabat operasi selain membuka kaunter fizikal pendaftaran di Lotus’s Teluk Intan bermula 28 hingga 31 Mac ini,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Tambah Mohd Mahadzir, sambutan yang diterima daripada orang ramai di pejabat operasi dan Lotus’s adalah sangat menggalakkan memandangkan tempoh pendaftaran dan pengemaskinian data PADU hanya berbaki dua hari sahaja lagi.

Sementera itu, pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Renugadevi, 62, berkata kesibukan bekerja menjadi faktor utama yang menyebabkannya mendaftar PADU pada saat-saat akhir.

“Saya pekerja gaji harian, hari cuti biasa perlu uruskan kerja-kerja rumah. Kebetulan hari ini ada orang menggantikan tempat saya bekerja, saya datang ke sini untuk mendaftar,” ujarnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda