Laporan/foto: Rasidi Che Sa/Siti Yusmila Yusof (Baling/Sik)
BALING, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 300 bungkus air minuman diedarkan kepada pengguna jalan raya di Kampung Gua Reban, Kupang, di sini semalam.
Penyelaras Pusat Kedah Kenari Baling, Eddie Nor Hisham Mohd Faudze, berkata program ini merupakan acara tahunan kelab bolasepak ini disamping dapat mendekati masyarakat dan berkongsi rezeki di bulan Ramadan ini.
Jelasnya lagi, edaran bungkusan air minuman ini juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta mendidik pelatih-pelatih untuk mendekati masyarakat seterusnya sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah menyokong kelab ini.
“Selain meneruskan tradisi tahunan, program ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan semua dan kita juga mengambil kesempatan untuk bersedekah di bulan yang mulia ini.
“Selain itu ianya juga sebagai tanda penghargaan kami kepada penyokong-penyokong bolasepak di peringkat akar umbi serta sempena ulang tahun Kedah Kenari Baling yang ke 14 tahun,” ujarnya.
Penglibatan satu-satunya pelatih berbangsa India menjadi tumpuan dan tarikan dalam program Infaq Ramadan ini.
Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Dinesh, melahirkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam program ini.
“Saya selesa berkawan dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan teruja bila dapat bersama-sama dalam program ini,” ujar Dinesh.
Turut serta dalam program ini adalah pihak pengurusan dan pelatih-pelatih Kedah Kenari Baling.
-ZS-