Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/PPj (Kuala Lumpur)
PUTRAJAYA, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menyeru semua warga Wilayah untuk sama-sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan membudayakan membawa bekas makanan sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik apabila membungkus makanan ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
“Kita semua sedia maklum tentang ancaman penggunaan plastik konvensional yang banyak memberikan kesan negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar.
“Mungkin kita pernah terdengar tentang beg plastik konvensional yang biasa kita gunakan selama ini, mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai. Kemudian, ianya juga boleh menghasilkan bahan toksik merbahaya atau partikel halus yang menyerap masuk ke dalam tanah serta air yang mengakibatkan pencemaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di Bazar Ramadan Presint 3, di sini semalam.
Ujarnya lagi, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan fokus dalam menggalakkan penggunaan produk biodegradasi di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Dalam pada itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) juga meneruskan aktiviti kempen yang menyokong inisiatif Putrajaya Bandar Hijau Rendah Karbon dan kesejahteraan komuniti sejagat semasa FRP2024.
PPj turut menekankan aspek kebersihan dan kesihatan persekitaran dalam penganjuran FRP2024 selari dengan Kempen BEST (Bersih Setiap Tempat) Putrajaya.
-ZS-