Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kaunter JPJ Mobile Jadi Sasaran Pemilik Motosikal

By 5 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih 200 orang membanjiri kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersempena Hari Bertemu Pelanggan di Pusat Komuniti Desa (PKD) Gual lpoh, di sini semalam bagi memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Menurut Penyelia Perkhidmatan Mobile JPJ Negeri Kelantan Mohd Rosman Ismail, berkata antara perkhidmatan yang disediakan di kaunter Mobile JPJ hari ini adalah bayaran cukai jalan, lesen memandu kenderaan bermotor, semakan senarai hitam kenderaan, semakan dan bayaran saman.

Kaunter bergerak ini disediakan bagi membantu memudahkan urusan pelanggan di komuniti ini dan seramai empat orang pegawai JPJ dan seorang pegawai insurans telah ditugaskan untuk memudahkan proses pembayaran cukai jalan kenderaan yang diperbaharui bagi tempoh setiap tiga tahun.

Pengurus PKD Gual lpoh Nazrul Mat Daud, berkata program ini diadakan bagi memudahkan urusan penduduk setempat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang perlu menyelesaikan masalah dengan beberapa agensi kerajaan.

Antara agensi lain turut terlibat ialah Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan, KESEDAR Kelantan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Perdaftaran Negara, Negeri Kelantan.

Selain kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perangkaan Negara turut membuka kaunter pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Ibu kepada empat cahaya mata Zuhaila Muhamad, 40, dari Kampung Sokor, berkata beliau sanggup datang dari jauh untuk membayar cukai jalan yang sudah lama tamat tempoh serta membuat pendaftaran PADU di sini.

“Saya tinggal jauh di kawasan pedalaman, jadi agak sukar untuk saya keluar bersama anak-anak.

“Saya tidak melepaskan peluang untuk selesaikan urusan pembayaran cukai jalan dan mendaftar PADU kerana masalah ketiadaan capaian Internet,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda