
Laporan/foto: Nur Afikah Rusly/Siti Norzila Dollah (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Satu majlis ‘Meet and Greet’ sempena meraikan pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Penasihat Kolej Komuniti Taiping (KKT) Tahun 2024/2025 berlangsung di Hotel Seri Warisan, di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat KKT Datin Yatimah Khalid, berkata melakukan penambahbaikan dengan menambah beberapa AJK Penasihat yang baru adalah tindakan yang wajar untuk berkongsi pandangan dan pendapat.
“Pelantikan mereka yang terdiri dalam kalangan pelbagai agensi dan individu mampu memperkasa hala tuju KKT,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KKT Aznur Anuar Ab Azid, berkata AJK Penasihat berperanan memberi khidmat nasihat mengenai perancangan dan strategi pelaksanaan kolej komuniti dalam membangun dan memperkukuh sosio-ekonomi setempat dan pihak berkepentingan pemegang taruh.
“Mereka juga berperanan untuk mengenal pasti keperluan pendidikan, program dan latihan tempatan yang bersesuaian, bantuan pembiayaan dan fasiliti ke atas program-program yang dianjurkan kolej komuniti,” ujarnya.
Tambah Aznur, AJK Penasihat turut membantu menggalakkan penglibatan komuniti setempat untuk bergiat aktif dalam aktiviti dan program, latihan serta meningkatkan kemahiran peningkatan kemahiran yang dianjurkan kolej komuniti.
“Harapan saya agar mereka yang baru dilantik ini dapat bersama-sama dengan KKT bagi membangun dan meningkatkan peranan serta fungsi KKT kepada masyarakat,” katanya.
-ZS-