Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahJohor

Peserta Felcra Sungai Sepuluh, Paloh Terima Hak Milik

By 11 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohammad (Kluang)

KLUANG, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Penantian baki 123 orang peserta projek Felcra Sungai Sepuluh, Paloh berakhir apabila masing-masing akhirnya menerima pemberimilikan tanah di bawah rancangan FELCRA Sungai Sepuluh, Paloh, setelah menunggu selama 25 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han berkata, Kerajaan Negeri amat sedar bahawa tanah merupakan aset yang sangat penting dan bernilai bukan sahaja kepada para peserta tetapi kepada sesiapa sahaja.

“Kerajaan Negeri seboleh-bolehnya akan cuba memastikan sebarang isu berkaitan hakmilik hartanah diselesaikan dengan kadar segera dan mudah,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Penyampaian Hak Milik Peserta-Peserta Projek Felcra Sungai Sepuluh, Kluang yang diadakan di Dewan Serbaguna Chamek, hari ini.

Menurut salah seorang peserta projek yang juga merupakan ahli jawatankuasa Felcra Sungai Sepuluh, Haji Klivon Thaswee, seramai 1,500 orang peserta projek Felcra Sungai Sepuluh terlibat dalam pemberian hakmilik yang diberikan secara berperingkat.

Turut hadir Pentadbir Tanah Kluang Mustafa Kamal Abdullah, Timbalan Pengarah Pengurusan Tanah dan Ukur Felcra Berhad Abdullah Sohaini Hassan dan Pegawai Penilai Majlis Perbandaran Kluang Muhammad Yusof Zainuddin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda