Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program 3.5km Fun Walk Mendapat Sambutan Hangat

By 5 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Program 3.5km Fun Walk Anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Kecil Daerah Pendang mendapat sambutan hangat apabila disertai seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pelajar sekolah serta masyarakat setempat khususnya kaum wanita.

Para peserta yang hadir dengan bertemakan ala kampung memulakan acara dengan aktiviti senamrobik sebelum memulakan acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer (km).

Pengerusi PUSPANITA Daerah Pendang Nurul Huda Abdul Majid dalam ucapan perasmian pagi ini, berkata objektif utama program adalah untuk memupuk budaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan sesama ahli PUSPANITA dan masyarakat setempat.

“Program yang diadakan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia ini diharapkan dapat membuka minat setiap lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

“Semoga program ini akan diteruskan penganjurannya pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Selain acara ‘fun walk’ (larian ceria) dan senamrobik, turut diadakan program pemeriksaan kesihatan, kuiz kecergasaan minda serta gerai-gerai jualan makanan.

Salah seorang peserta yang menyertai acara pada hari ini, Rosnani Idris, 65, menyatakan kegembiraan dan berharap agar program seperti ini dapat dijadikan acara bulanan atau tahunan bagi memastikan setiap wanita sentiasa mengamalkan dan membudayakan gaya hidup sihat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda