Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Program Imarah Ramadan Masjid Al-Falah Bukit Kalam Tarik Generasi Belia

By 15 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Masjid Al-Falah

LABUAN, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Pelbagai program yang mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan anjuran Masjid Al-Falah Kampung Bukit Kalam menarik penyertaan generasi belia.

Pengerusi Masjid Al-Falah, Amirol Mahali berkata program itu untuk meningkatkan kekuatan ruhiyah terutama dalam kalangan generasi muda.

“Masjid sebagai pusat dakwah dan penyediaan perkhidmatan setempat sentiasa berusaha untuk menarik minat masyarakat terutamanya golongan belia dan remaja serta kanak-kanak dengan kegiatan agama.

“Sempena ketibaan bulan yang mulia ini, pihak jawatankuasa masjid lebih fokus kepada akitiviti untuk menarik belia dan remaja datang ke masjid dan seterusnya terlibat dengan aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya semasa ditemui di sini semalam.

Tambahnya, pihak masjid juga menjalankan Program Tadarus Al-Quran yang disertai seramai 30 orang jemaah masjid.

“Program itu bermula selepas solat sunat tarawih diketuai oleh Imam Muhasrizal Mulok dan Friddin Amat dan peserta tadarus terdiri daripada warga emas dan golongan belia.

“Kami mengalu-alukan kehadiran jemaah dan penduduk kampung untuk terus mengimarahkan masjid pada setiap malam khususnya ketika diadakan majlis atau program keagamaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Kalam, Suhaimi Kula berharap jemaah dan penduduk kampung akan terus menyokong program pengimarahan masjid bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga selepas bulan puasa berakhir.

“Saya merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa masjid yang sentiasa berusaha menarik golongan belia dan remaja untuk menjadikan masjid sebagai tempat perjumpaan mereka.

“Pihak masjid menyediakan kemudahan teknologi dan perkhidmatan Wi-Fi percuma sepanjang bulan Ramadan bagi menggalakkan belia berada lebih lama dalam kawasan masjid sebelum dan selepas waktu solat” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda