Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program Outreach Pemukiman Beri Ruang Kenali Masyarakat

By 20 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)

BUKIT GANTANG, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Program Outreach Pemukiman Pegawai Daerah di sekitar Mukim Bukit Gantang pada Isnin, membuka ruang dan peluang untuk mengenali masyarakat setempat.

Menurut Penghulu Mukim Bukit Gantang Muhamad Fadzil Abd Mutalib, program ini melibatkan lima lokasi di sekitar mukim ini iaitu Kampung Changkat Ibol, Kampung Sendok, Kampung Cheh, Kampung Jelutong dan Kampung Kubu.

“Antara pengisian yang telah dilaksanakan termasuklah kunjungan santai ke Ethno Valley di Kampung Sendok, lawatan ke bengkel Cik Yah Bahulu Warisan di Kampung Jelutong dan penyerahan kunci bantuan bina baharu rumah di Kampung Changkat Ibol,” katanya ketika ditemui.

Tambah Muhamad Fadzil, program tersebut meliputi lawatan ringkas, penyampaian bantuan dan saguhati tanda penghargaan daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah LMS kepada mereka yang terlibat.

“Bantuan ini telah disampaikan sendiri oleh Pegawai Daerah, Tuan Mohd Nasrul Menhat yang turut berpeluang beramah mesra dengan masyarakat setempat dan pemimpin tempatan dalam kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” ujarnya.

Sementara itu, penerima bantuan bina rumah baharu Mohd Bazlan Abdullah dari Kampung Tengah amat tersentuh dengan usaha yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“Ia amat bermakna kepada saya dan keluarga kerana sebelum ini kami hanya menyewa di sebuah rumah usang. Lebih-lebih lagi bulan Syawal akan menjelang.

“Insya-Allah kami akan berpindah pada Hari Raya nanti,” katanya gembira.

-ZS-

Tinggalkan komen anda