Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Lancar Kempen Keselamatan Kanak-kanak dalam Kenderaan

By 21 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 21 Mac (Malaysiaaktif) – EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari melancarkan kempen keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan di Hospital Selayang, di sini hari ini.

Kempen berkenaan susulan statistik dua kematian bayi akibat ditinggalkan di dalam kereta pada 2023 dan dua kematian telah dicatatkan tahun ini.

Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, berkata  semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengelakkan ‘Forgotten Baby Syndrom’ (FBS) tersebut.

“Penglibatan holistik seluruh anggota komuniti, agensi kerajaan dan pengasuh taska untuk tingkatkan kesedaran mencegah pengabaian atau FBS ini,” katanya ketika sidang media.

Turut hadir Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Wan Noraini Wan Muhammad Nor.

Menurut Anfaal, sebanyak 50,000 pelekat dengan tulisan ‘Di mana anak anda’ dan ‘Pandang Belakang’ dicetak dan diedarkan untuk dipasang di cermin atau tingkap kereta.

“Bagi fasa kedua, kita akan mendapatkan penglibatan pihak korporat dan bangunan-bangunan komersial untuk meletakkan papan tanda mengingatkan tentang anak mereka.

“Pada bulan Mei atau Jun program ini akan melibatkan persatuan Taska Negeri Selangor dan polis,” jelasnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda