Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Skim mySalam Beri Manfaat Kepada B40

By 26 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Skim Perlindungan Kesihatan Sosial (mySalam) memberi manfaat kepada golongan B40 mengatasi masalah kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 45 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Pegawai Penerangan Daerah Kemaman Mohd Fadli Muhd Yusof berkata, jika penerima mySalam disahkan menghidap salah satu daripada 45 penyakit kritikal yang disenaraikan di mySalam, ahli mySalam boleh menuntut faedah bernilai RM8,000 daripada mySalam, yang akan dibayar sepenuhnya ke akaun ahli mySalam sekali seumur hidup.

“Untuk manfaat kemasukan ke hospital pula, jika penerima mySalam dimasukkan ke wad hospital kerajaan, hospital pengajar atau hospital angkatan tentera, penerima mySalam layak menuntut pendapatan gantian sebanyak RM50 sehari, terhad kepada 14 hari atau RM700 setahun.

“Urusan tuntutan boleh dibuat di kaunter mySalam di Hospital Kemaman,” ucapnya ketika merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi Komuniti MADANI di Kampung Sungai Mak Ikar, di sini kelmarin.

Sementara itu, Nor Farisha Ed Fasmira, 28, petugas kaunter mySalam Hospital Kemaman yang ditemui berkata, segala urusan semakan kelayakan dan tuntutan oleh penerima akan diproses di hospital ini bagi memudahkan urusan permohonan mySalam.

“Operasi Kaunter MySalam Hospital Kemaman dibuka sepanjang bulan Ramadan bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 4.40 petang setiap hari, mananakala pada hari biasa bermula pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda