Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Tourism Bazar Ramadan 2024 Tarikan Pelancong ke Pulau Langkawi

By 12 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menjalankan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) bagi menjayakan Tourism Bazar Ramadan 2024 sebagai salah satu usaha untuk memeriahkan dan mempelbagaikan lagi aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi sempena ketibaan bulan Ramadan tahun ini.

Pihak LADA melaksanakan satu lagi projek yang dapat memberi manfaat kepada penduduk dan pelancong dengan menyediakan kemudahan khemah kepada peniaga Tourism Bazar Ramadan dan menyalurkan sejumlah peruntukan sebanyak RM50 ribu kepada MPLBP bagi membolehkan menguruskan perolehan bekalan khemah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA Ahmad Fuad Che Ani @ Abdul Ghani, berkata penganjuran bazar ini merupakan satu program yang amat baik bagi mempromosikan juadah kegemaran Malaysia dan makanan tradisi komuniti Langkawi.

“Kepelbagaian juadah ini sekali gus akan menjadi daya penarik kepada pelancong bagi menerokai pelancongan gastronomi yang lazat, unik dan menarik.

“LADA berharap kemudahan khemah ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh 220 orang peniaga sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Menurut Ahmad Fuad lagi, menjadi hasrat LADA dengan terlaksananya projek Tourism Bazar Ramadan ianya dapat menguatkan lagi kedudukan serta imej pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan.

“LADA juga cuba menjadikan bazar ini sebagai salah sebuah produk pelancongan bagi memeriahkan lagi sektor pelancongan gastronomi di Langkawi,” ujarnya.

Yang Dipertua MPLBP Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, berkata MPLBP telah berusaha menyediakan tapak bazar Ramadan dan khemah yang seragam kepada peniaga-peniaga di  Pulau Langkawi bagi memudah dan memberi keselesaan kepada peniaga serta pengunjung untuk mendapatkan juadah makanan sepanjang bulan puasa dan tambahan rezeki kepada peniaga-peniaga sempena menyambut Syawal ini.

“MPLBP telah menyediakan sebanyak 220 tapak niaga bazar Ramadan di mukim Kuah, 70 tapak di Beras Terbakar Mukim Padang Matsirat dan 45 tapak niaga di perkarangan Pasar Awam Mukim Ayer Hangat.

“Tema kita di Pulau Langkawi ini ialah ‘Bersih, Indah dan Ceria’ dan pastinya kita mahukan para peniaga menyediakan makanan-makanan yang bersih,” katanya di Majlis Penyerahan Sumbangan Khemah Sempena Penganjuran Tourism Bazar Ramadan 2024 yang diadakan di tapak Tourism Bazar Ramadhan, Kuah, di sini kelmarin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda