Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PKKB Simbolik Kebersamaan Penduduk PPR

By 12 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norfatihah Abd Jamin/Mohamad Nazry Mohamad Rani (Kinta)

IPOH, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganjurkan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) yang menjadi simbolik kepada kebersamaan dan kesejahteraan penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk meningkatkan kebolehupayaan komuniti dan memperkasa pelaksanaan program-program untuk peningkatan ekonomi komuniti.

Menterinya Nga Kor Ming, berkata lima matlamat PKKB telah digariskan bagi merealisasikan inisiatif ini.

“Pertama; SWCorp mensasarkan sebanyak 70 peratus premis di 17 PPR untuk melaksanakan Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) menjelang 2025. Kedua; sasaran kadar kitar semula sebanyak 40% menjelang 2025. Ketiga; menjadikan Pusat KOSIS sebagai hab mini program kesedaran kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan penduduk setempat. Keempat; meningkatkan pendapatan golongan B40 dan kelima; mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang khususnya terhadap alam sekitar dan kesaksamaan sosial.”

“Adalah menjadi harapan KPKT untuk melihat setiap komuniti perumahan di negara ini dapat menikmati kehidupan yang selesa, selamat dan kondusif di tempat tinggal mereka sendiri. Berteraskan misi untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan, saya pasti usaha yang berterusan perlu diperkemas dan dilaksanakan oleh semua pihak,” ujarnya ketika merasmikan PKKB Karnival Komuniti PPR@Rumah Pangsa Jalan Hospital, di sini pada Ahad.

Beliau turut menyeru agar semua pihak sama-sama menggembleng tenaga dan usaha dalam memastikan matlamat PKKB ini tercapai dan mengajak penduduk PPR memanfaatkan program anjuran kerajaan demi kemakmuran bersama.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BKK) KPKT dan SWCorp dengan kerjasama Rukun Tetangga Rumah Pangsa Jalan Ashby Ipoh serta seluruh jawatankuasa yang terlibat kerana berjaya menganjurkan majlis yang penuh bermakna,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda