Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Usahawan Muda Coklat ‘Nisang’ Terengganu Miliki Jenama Sendiri

By 14 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Shuhaimi Ahmad

DUNGUN, 14 Mac (Malaysiaktif) – Coklat ‘nisang’ atau gula-gula manisan adalah sejenis pemanis mulut diperbuat daripada gula melaka (‘nisan’), iaitu sejenis manisan yang dihasilkan daripada mayang kelapa.

Pemanis mulut tradisi ini cukup terkenal di negeri Pantai Timur dari dulu hingga kini, namun pembuatannya sukar ditemui kerana tidak ramai yang mengusahakannya.

Pengusaha Coklat Petua Warisan Bonda, Amir Yusof Muhamad, 32, berkata cetusan awal untuk mengusahakan pembuatan coklat ini bermula pada awal tahun 2012 apabila beliau melihat terdapat pelbagai jenis manisan mula dikomersialkan di pasaran tetapi penjualan coklat ini masih lagi kurang.

“Pada awalnya saya dan isteri hanya bermula secara kecil-kecilan dari rumah. Lama-kelamaan saya melihat coklat ‘nisang’ mempunyai potensi untuk dikomersialkan kerana sambutan yang menggalakkan daripada peminat dan penggemarnya yang tersendiri.

“Alhamdulillah berkat sokongan daripada semua pihak dan berbekalkan pengalaman selama 12 tahun, kini saya berjaya memiliki jenama coklat ‘nisang’ sendiri iaitu ‘Double Bee’ dan mempunyai tempat memproses dilengkapi dengan mesin dan peralatan serta dibantu oleh beberapa orang pekerja,” katanya, di sini semalam.

Amir turut bersyukur kerana pelbagai agensi kerajaan juga membantu dari segi suntikan modal dan sokongan latihan.

Antaranya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“MARDI bagi cadangan kepada saya untuk pelbagaikan variasi coklat ‘nisang’. Antara yang saya dah hasilkan adalah coklat nisan bersalut coklat dan susu yang menjadi kegemaran kanak-kanak.

“Selain itu, saya turut menerima suntikan modal daripada MARA untuk membeli mesin pembungkusan,” katanya yang mengusahakan coklat ‘nisang’ di Kampung Pinang Merah.

Menurutnya lagi, penghasilan produk jenama ‘Double Bee’ dibuat mengikut tempahan dan permintaan pelanggan bagi memastikan kualiti rasa kekal sedap dan ‘fresh’ (segar).

Selain dipasarkan secara dalam talian dan melalui agen di pelbagai negeri, Amir turut menerima tempahan coklat ‘nisang’ untuk dijadikan sebagai ‘goodies’ (cenderamata) di majlis-majlis keraian.

“Saya berharap coklat ‘nisang’ ‘Double Bee’ ini dapat menembusi pasaran antarabangsa satu hari nanti,” katanya kepada Malaysia Aktif mengakhiri perbualan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda