Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Yayasan IMPAK Sasar Bantu 1,500 Keluarga Sambut Ramadan

By 11 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Agku Marzuki Ag Latip (Sabah)

TAWAU, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Menjelang ketibaan bulan Ramadan, Yayasan Inisiatif Membangun Pendidikan Dan Amal Kebajikan Berdaftar (IMPAK) menyasarkan penyaluran bantuan kepada sejumlah 1,500 keluarga di seluruh negara tahun ini.

Sumbangan berbentuk bakul makanan itu antara inisiatif dilaksanakan pihak Yayasan Impak sebagai usaha membantu golongan kurang berkemampuan untuk bersama-sama merasakan nikmat bulan suci umat Islam itu

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Yayasan Impak Dr. Tajuddin Jali, berkata bantuan itu turut disalurkan kepada pelbagai golongan sasar termasuk di daerah ini.

“Untuk negeri Sabah, kita memberikan sumbangan bakul makanan kepada 100 buah keluarga kategori asnaf dan B40 yang kesemuanya disalurkan di daerah Tawau.

“Saya merayu kepada orang ramai dan dermawan supaya bersama-sama dengan Yayasan IMPAK bagi membantu masyarakat yang memerlukan dan kami juga menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar seperti kelas bimbingan dan kelas pembelajaran,” katanya ketika Program Santunan Ramadan di Kampung Sri Menanti di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berharap lebih banyak kerjasama daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau yayasan dijalinkan agar dapat menyantuni segenap lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir.

“Terima kasih kepada Yayasan IMPAK kerana memilih penduduk kawasan DUN Kukusan sebagai penerima sumbangan ini.

“Saya amat berbesar hati dengan bantuan bakul makanan yang telah diberikan dari pihak Yayasan IMPAK dan Yayasan Ismail dan berharap semoga ada lagi kolabrasi di masa yang akan datang dalam menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Majlis penyerahan bantuan itu disertai 40 orang penerima terdiri daripada penduduk kampung daripada golongan keluarga asnaf, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

-ZS-

Tinggalkan komen anda