Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 5 Apr (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDN KL) mengumumkan sebanyak 19 barangan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di peringkat Kuala Lumpur menjelang Aidilfitri berkuatkuasa hari ini hingga 19 April depan.
Jumlah itu kurang tiga (3) barang, berbanding 22 jenis barang yang berada di bawah skim berkenaan yang ditetapkan KPDN.
Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur Ariffin Samsudin, 19, barangan tersebut adalah daging lembu tempatan, daging kerbau import, tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang kuning besar dan bawang putih (China), ubi kentang import (China), cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji, kelapa parut, ikan kembung termasuk mabung dan ikan selayang.
KPDN KL menggerakkan seramai 91 pegawai penguatkuasa dan 75 pegawai pemantau harga untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan selama 15 hari tersebut di lokasi-lokasi strategik di ibu negara seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah.
“Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024 ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang akan memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi.
“Mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah SHMMP ini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM50,000.
“Bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000” kata Ariffin pada sidang media selepas membuat tinjauan SHMMP di pasar raya Giant Desa Petaling di sini, hari ini.
Ariffin menegaskan setiap peniaga harus meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada kesemua 19 barangan yang diwartakan itu.
Sekiranya gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu walaupun harga jualan betul, peniaga boleh didenda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.
-ZS-