Laporan/foto: Radiah Rahim
KUANTAN, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Semua umat Islam digalakkan memperbanyakkan amal ibadah di 10 hari terakhir Ramadan dan Baginda Rasulullah SAW beribadat bersungguh-sungguh di malam-malam terakhir Ramadan dan melipatgandakan ibadahnya berbanding bulan-bulan yang lain walaupun Baginda seorang yang maksum.
Timbalan Qadhi Kuantan Al-Fadhil Ustaz Mohd Hafidz Mohamad Suhaile berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘10 Malam 10 Tips’ dalam Program Influencer@JAPEN Edisi Khas Ramadan yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Jabatan Penerangan Pahang, semalam.
Dalam ceramahnya Mohd Hafidz telah memberikan 10 tip yang boleh diamalkan dan dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.
“Antaranya adalah tidak bakhil dalam ibadah, ihtisaban (bersungguh-sungguh) dalam melakukan ibadah, tidak meninggalkan solat fardu, solat tarawih, membaca al-Quran, bersedekah, memperbanyakkan zikir, berdoa, iktikaf di masjid dan akhir sekali bagi wanita dalam hadas boleh melakukan pelbagai perkara yang memberikan pahala,” katanya.
Norasyima Sidek, 39, dari Bahagian Audit Dalam Kementerian Pertahanan Cawangan Negeri Pahang berpendapat ceramah yang disampaikan amat bagus kerana mengingatkan amalan-amalan yang perlu dilakukan pada 10 terakhir bulan Ramadan.
Rakan sepejabatnya Marea Faziera Ismail, 29, berkata pengisian ceramah ini amat bermanfaat untuk memberi kesedaran dan keinsafan.
“Ceramah agama seperti ini perlu dianjurkan pada masa-masa akan datang dan tidak hanya di bulan Ramadan sebagai santapan rohani,” katanya.
Menurut Marea, beliau sering mengikuti program ceramah agama yang dianjurkan oleh Kelab Penerangan Pahang untuk menambah ilmu agama di samping dapat menambah pahala.
-ZS-