Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Ikan Pekasam Air Tangan Kak Ja Laris

By 5 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Siti Yusmila Yusof (Sik)

SIK, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Seorang pengusaha ikan pekasam, Haniza Che Embi, 55, tidak menyangka ikan pekasam air tangannya mendapat permintaan tinggi terutamanya di bulan Ramadan ini.

Haniza atau lebih mesra disapa Kak Ja mendedahkan, dia mempelajari cara pembuatan ikan ini daripada ibu mertuanya dan telah mengusahakan perniagaan ini secara kecil-kecilan sejak 20 tahun lalu.

Menurut Kak Ja, permintaan ikan pekasam kebiasaannya antara dua hingga tiga kilogram sehari.  Namun begitu, kebiasannya permintaan di bulan Ramadan akan meningkat sehingga 15 kilogram sehari.

“Beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan, tempahan telah pun meningkat.

“Mungkin disebabkan ikan ini sesuai untuk dijadikan hidangan semasa berbuka puasa atau pun sahur,” ujar Kak Ja yang ditemui di rumahnya di Kampung Surau, Belantik, di sini semalam.

Tambahnya, antara ikan yang digunakan adalah ikan lampan serta ikan pucuk pisang dijual dengan harga RM24 sekilogram.

“Ikan pekasam ini bukan sahaja mendapat permintaan penggemar tempatan bahkan turut dipasarkan sehingga Kelantan, Melaka dan juga Kuala Lumpur,” katanya.

Ujarnya lagi, sekitar tahun 2013 dia mendapat bantuan peralatan seperti mesin menggoreng beras daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sik.

Kak Ja turut mendedahkan, proses membuat ikan pekasam ini dimulakan dengan perapan air garam selama tiga hari bersama-sama asam keping. Kemudiannya, beras goreng yang telah dikisar dimasukkan bersama-sama ikan dan seterusnya diperap selama dua minggu.

“Ikan pekasam sedap dimakan kalau digoreng bersama-sama hirisan bawang dan cili serta sedikit perahan limau nipis,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda