Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

DBKL, Hangzhou Meterai Lol Fokus ‘Startup City Connect’

By 23 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/DBKL (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeterai satu surat niat (LoI) dengan Kerajaan Rakyat Perbandaran Hangzhou, China memfokuskan kepada kerjasama ‘Startup City Connect’, di sini semalam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustapha, kerjasama itu merupakan detik bersejarah buat Malaysia dan China memandangkan ia adalah kerjasama yang pertama melibatkan kedua-dua negara yang memberi fokus kepada industri pemula.

Perkongsian pengetahuan dan kepakaran bersama terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi itu memberi nilai tambah yang akan menguntungkan Malaysia.

“LoI ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua bandar dan akan membantu meningkatkan lagi pelaburan serta memberi peluang yang luas kepada pertukaran teknologi tinggi terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan ekosistem syarikat pemula.

“Lol ini juga akan membuka prospek penting bagi usahawan dan pemain teknologi komunikasi di kedua-dua negara untuk terus berinovasi dan memajukan teknologi,” katanya.

LoI itu turut memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti kerjasama ekonomi dan perdagangan, program bandar pintar, e-dagang, pembangunan ekosistem pemula dan rangka kerja pengawalseliaan AI.

Terlebih dahulu Zaliha menyaksikan majlis menandatangani Lol itu antara Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh dan Timbalan Datuk Bandar pertama Hangzhou Chen Jin pada Sidang Kemuncak KL20 2024 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda